Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mencadangkan dua pendekatan tambahan bagi memastikan bekalan ayam mencukupi dan memenuhi kehendak rakyat dalam tempoh terdekat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan pertama adalah memberi bantuan khas bagi segera menghidupkan penternak-penternak tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat tekanan kartel.

Selain itu katanya, perlu disegerakan pengimportan ayam dari negara jiran seperti Thailand, selain pemansuhan AP.

“Dicadangkan satu agensi khas seperti NAFAS diwujudkan segera. Ini bagi memastikan keupayaan pihak pengimport dari pelbagai segi termasuk kuantiti dan dana terjamin agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak pembekal di Thailand hingga akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada syarikat-syarikat kartel yang besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf berkata, selain pelan jangka pendek bagi memenuhi keperluan semasa rakyat, pelan jangka panjang dengan perincian dasar, hala tuju dan mekasnisme pelaksanaan yang jelas mesti dilakukan segera.

Sebagai contoh beliau berkata, dasar penanaman jagung bagi tujuan memenuhi bekalan dedak mestilah jelas termasuk dari segi pengawalan harga, pemberian subsidi dan pembangunan bersepadu yang komprehensif bagi memastikan harga jagung yang dibekalkan kelak adalah kompetitif berbanding import dari Brazil dan Argentina yang ternyata punya kelebihan dari segi skala ekonomi.

“Pemuda UMNO juga ingin mencadangkan agar diwujudkan sebuah Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) agar satu dasar yang komprehensif dan tindakan bersepadu yang melibatkan beberapa kementerian dapat dilaksanakan sekaligus, memastikan seluruh rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hinggalah ke peringkat penjualan dan pengeksportan terpelihara dari segi harga, kualiti dan bekalan semasa,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama Asyraf berkata, pihaknya menyambut baik tindakan tegas kerajaan untuk segera menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang benar-benar menghimpit dan meresahkan rakyat ketika ini.

Katanya, tindakan tegas dan pengisytiharan ‘perang’ terhadap kartel dalam kalangan syarikat-syarikat tertentu yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran amatlah dialu-alukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast