Serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Jalil semalam Op Noda membawa kepada tangkapan lelaki tempatan dan wanita warga asing. Ihsan IPD Cheras

CHERAS – Lapan individu termasuk dua wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Pusat Perdagangan Bandar Bukit Jalil di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua individu adalah berusia 23 hingga 35 tahun  itu ditahan dalam operasi Op Noda.

“Daripada 134 orang yang ditahan, kita telah menahan seorang lelaki warga tempatan, lima lelaki dan dua wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Pihaknya turut merampas tujuh botol minuman keras pelbagai jenama serta beberapa barangan elektronik lain.

Kesemua mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seskyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (Pin 2002). – MalaysiaGazette