Subang Parade antara hartanah yang diuruskan oleh Hektar REIT.

KUALA LUMPUR – Pendapatan suku pertama Hektar Asset Management Sdn. Bhd. (Hektar REIT) yang berakhir 31 Macl lalu meningkat 8.7 peratus kepada RM29.11 juta berbanding RM26.78 juta tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan pendapatan sewa, tempat letak kereta dan penghunian hotel yang lebih tinggi.

Sentimen runcit keseluruhan bagi suku ini kekal positif kerana ia disokong oleh peningkatan dalam jualan runcit.

“Pendapatan hartanah bersih Hektar REIT meningkat 17.9 peratus kepada RM16.62 juta berbanding RM14.09 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2021, manakala pendapatan direalisasi bagi suku dalam tempoh tinjauan meningkat 110.7 peratus kepada RM13.74 juta berbanding RM5.52 juta pada suku pertama 2021,” kata Hektar REIT dalam kenyataan di sini.

Manakala pendapatan seunit meningkat sebanyak 106.6 peratus kepada 2.92 sen untuk suku pertama 2022 berbanding 1.41 sen untuk suku pertama 2021.

Mengulas lanjut, Hektar REIT berkata, walaupun dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar, ia masih berupaya membawa masuk penyewa baharu dan memuktamadkan penyewaan sedia ada.

Kadar keseluruhan portfolio kepenghunian Hektar REIT kekal stabil pada 84.8 peratus pada suku yang ditinjau.

“Sokongan utama untuk pusat beli-belah Hektar kekal positif kerana Golden Screen Cinemas (GSC), penyewa utama kami di Subang Parade, Central Square dan Kulim Central, telah mula menjalankan perniagaan mereka.

”Komitmen oleh penyewa utama adalah bukti keyakinan terhadap prospek jangka panjang pusat beli-belah. Hektar REIT optimistik dengan pemulihan secara beransur-ansur apabila negara beralih ke fasa endemik dengan penarikan sekatan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya lagi.

Retail Group Malaysia (RGM) juga menjangkakan industri runcit akan pulih pada 2022 selepas mencatatkan kadar pertumbuhan 26.5 peratus tahun atas tahun pada suku keempat 2021, yang melebihi jangkaan pasaran.

RGM menjangkakan jualan runcit akan berkembang sebanyak 6.3 peratus pada tahun 2022. – MalaysiaGazette