Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook (tengah) bersama pemimpin DAP yang lain membuat tinjauan harga dan stok bekalan makanan di Pasar Pudu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam ke luar negara semalam disifatkan sebagai satu langkah tergesa-gesa.

Ini kerana keputusan yang dibuat didakwa tidak melihat masalah yang berlaku secara menyeluruh dan disebabkan itu perkara sama terjadi sepanjang masa, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Katanya, pelbagai jaminan diberikan oleh kerajaan dalam menangani masalah kekurangan bekalan ayam namun sitausi sama tetap juga berlaku.

“Dia (kerajaan) tak melihat masalah secara keseluruhannya, jadi pelbagai jaminan diberikan tapi ia tidak laku lagi, jaminan itu tetap menjadi masalah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.

Katanya, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet bagi menangani masalah bekalan serta harga ayam ketika ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan agensi.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, apa yang berlaku ketika ini menunjukkan salah satu daripada kegagalan kerajaan dalam menangani masalah kehidupan rakyat.

Katanya, apa terjadi adalah masalah asas yang melibatkan bekalan makanan dan ia merupakan isu penting.

“Kalau itu pun tak dapat nak tangani bagaimana rakyat ada keyakinan kepada kerajaan untuk tangani masalah yang lebih besar,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan peranan Majlis Kos Sara Hidup yang diwujudkan oleh kerajaan dalam menangani masalah membabitkan pengguna.

Katanya, majlis itu sepatutnya bertindak lebih awal sebelum sesuatu perjara menjadi krisis.

“Sepatutnya majlis kos sara hidup semasa kita dalam kerajaan (Pakatan Harapan) ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri…sekarang kita tak tahu siapa pengerusi?

“Apabila majlis ini bersidang ia akan melibatkan pelbagai kementerian, Majlis Kos Sara Hidup sekarang ini tak tahu dipengerusikan siapa.

“Adakah terdapat kerjasama pelbagai kementerian yang terlibat, pertimbangan kerajaan mesyuarat menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast