Onn Hafiz pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang malam tadi.

PASIR GUDANG – Kerajaan akan memastikan momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu diteruskan sehingga diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi memastikan hasrat membangunkan negeri tercapai, kerajaannya perlu selari dengan pentadbiran di peringkat pusat dan untuk itu, BN perlu menang dalam pilihan raya umum.

“Saya setuju dengan pendapat bahawa momentum yang ada ketika ini, feel good factor yang dimiliki kerajaan ketika ini perlu diteruskan. Saya juga akan memastikan manifesto BN Johor dalam PRN lalu akan dilaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang di sini pada malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan penekanan terhadap isu dan keperluan dihadapi golongan muda kerana menyedari mereka adalah golongan majoriti melebihi 50 peratus daripada keseluruhan 3.6 juta penduduk di negeri ini.

“Selain daripada itu, perlu difahamkan mengapa tumpuan ketika ini lebih banyak terarah ke pembangunan sekitar Johor Bahru, ini kerana 1.8 juta daripada 3.6 juta penduduk negeri ini menetap di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Johor merangka pelan hala tuju melibatkan enam teras utama dalam usaha membawa negeri itu ke satu tahap baharu yang lebih baik pada masa depan.

Pelan tersebut diperhalusi menerusi satu program pemukiman yang akan dijalankan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri bermula pada 26 hingga 28 Mei ini.

“Selaku Menteri Besar, saya mempunyai misi dan visi untuk melihat Johor menjadi sebuah negeri yang maju bukan sahaja dalam aspek ekonomi penduduknya tetapi membangunkannya negeri ini dalam pelbagai aspek secara holistik.

“Enam teras ini merangkumi pentadbiran kerajaan yang baik, ekonomi fasa endemik, jaringan keselamatan sosial, keperluan kemudahan asas, kebersihan dan keselamatan.

“Ini termasuk infrastruktur, mentaliti dan jati diri, ilmu pengetahuan, peradaban dan juga tatasusila masyarakatnya, itu visi saya dalam membangunkan Johor sebagai sebuah negeri yang moden,” katanya.– MalaysiaGazette