Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara 2022 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Walaupun hayat Muafakat Nasional (MN) dianggap sebagai ‘nyawa-nyawa ikan’, namun kewujudannnya kerjasama dua parti gergasi antara UMNO dan Pas itu masih diharapkan kekal seperti sedia kala.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengakui beliau masih meletakkan harapan tinggi agar permuafakatan dua parti Melayu-Islam itu dikekalkan walaupun hubungan dua parti politik itu terjejas.

“Kita di peringkat bawah di Selangor, kalau boleh MN ini hidup seperti dahulu, (langkah) itu amat dialu-alukan

“Walau bagaimanapun kita serah kepada kebijaksanaan pimpinan di atas,” katanya kepada pemberita di Dewan Perdana Felda, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merasmikan Pra-Pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2021-2025.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang beranggapan walaupun MN sudah nyawa-nyawa ikan, namun beliau percaya gagasan itu masih bernyawa dan belum berkubur.

Tuan Ibrahim juga menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih memberi ruang kepada kedua-dua parti untuk duduk berbincang bagi menentukan hala tuju gagasan itu.

Dalam pada itu, Noh menyerahkan soal perbincangan secara bersemuka antara UMNO dan Pas kepada pucuk pimpinan parti itu.

“Sebab itu saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua parti ini kerana setiap parti ada jawatankuasa mereka.

“Kita mengharapkan bahawa kalau Presiden kata sudah nyawa-nyawa ikan, MN masih hidup lagilah.

“Sama ada dia akan terus hidup atau sebaliknya, kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette