Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama antara dua faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing.

Malah, gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, maklumat itu diperoleh hasil pertemuan kementerian itu dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan pengendali e-hailing (EHO).

Menurutnya, dalam pertemuan itu, pihaknya turut dimaklumkan bahawa itu, beberapa syarikat e-hailing mengalami penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding sebelum Covid-19 melanda Malaysia.

Kekurangan pemandu e-hailing ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Dalam masa sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.

”Tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai dapat bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

”Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran. Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ka Siong berkata, dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas serta surcaj dan kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj pula tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka.

Malah, EHO yang berkenaan juga telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

Pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Katanya, lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan agka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO
dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

Kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna dan kerajaan pula akan terus memantau industri e-hailing untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast