Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyampaikan sumbangan duit raya kepada rakan jalanan semasa hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di Taman Danau Desa, KualaLumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan  menjelaskan antara faktor yang menyebabkan kesesakan trafik luar biasa di ibu kota sejak akhir-akhir ini kerana penggunaan sistem lampu isyarat.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia melibatkan pengurusan sistem lampu isyarat dalam dan pinggir bandar yang tidak seragam.

Menurut beliau, sistem lampu isyarat dalam bandar diuruskan oleh syarikat luar negara manakala di pinggir bandar dikendalikan oleh syarikat tempatan.

“Sepatutnya sistem lampu isyarat ini mesti diseragam antara satu sama lain selain kewujudan sedia ada pusat arahan.

“Selepas meneliti sistem ini, tidak ada komunikasi antara dua syarikat itu yang menyebabkan kesesakan trafik luar biasa terutamanya jumlah kenderaan berlipat ganda pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Transformasi Gelandangan di Anjung Kelana hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap pada media selepas selesai menghadiri ke Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di Taman Danau Desa, KualaLumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 MEI 2022.

Beliau diminta mengulas rungutan warga kota yang berdepan kesesakan trafik pada waktu puncak iaitu pagi dan petang sejak kebelakangan ini.

Kesesakan itu bermula pukul 6.30 pagi dan ia berlanjutan sehingga 9 pagi.

Jalaluddin menambah, faktor lain yang menyumbang kepada kesesakan itu kerana sistem parkir yang menyebabkan trafik terhalang.

Jelas beliau, ini kerana terdapat sikap pemandu kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di tepi jalan.

“Selain itu, terdapat juga kenderaan berat yang memasuki bandar raya pada waktu puncak yang menambah lagi kesesakan trafik.

“Masalah kesesakan ini akan cuba diselesaikan segera di mana langkah-langkah penyelesaian sudah dibawa ke mesyuarat pasca kementerian,” katanya. – MalaysiaGazette