Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi pendahuluan pembayaran gaji dan elaun pemain dan pegawai pasukan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertunggak sebanyak RM1.3 juta melalui dana Yayasan Akalbudi miliknya pada 2014.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia dilakukan setelah dimaklumkan oleh menantunya, Datuk Zul Hisham Zainal bahawa pasukan itu memerlukan bantuan kewangan berikutan tunggakan gaji sehingga empat bulan.

Katanya, berikutan itu beliau memaklumkannya kepada pemegang amanah Yayasan Akalbudi, Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi dan mendapat persetujuan supaya pendahuluan itu diberikan kepada pemain tempatan sepenuh masa dan 15 orang dalam kumpulan pengurusan.

“Saya menyatakan bahawa sebelum ini, saya belum pernah memberi apa-apa sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM. Walau bagaimanapun, sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, PDRM berada di bawah kendalian saya sendiri.

“Saya telah dimaklumkan oleh menantu saya bahawa Persatuan PDRM berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan kewangan kerana empat bulan gaji tidak dibayar sehingga menyebabkan pemain, staf tersebut tidak berkemampuan untuk membayar perbelanjaan peribadi masing-masing.

“Oleh sebab itu, saya telah mendahulukan wang sebanyak RM1,300,000 kepada Persatuan Bola Sepak PDRM bagi membantu mereka untuk menampung keperluan dan kebajikan tersebut. Pemain-pemain ini sepenuh masa dan bergantung pada gaji itu, rata-rata mereka juga sudah berkeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika pemeriksaan balas, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Berikutan itu, Ahmad Zahid menafikan beliau melakukan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM1.3 juta, sebalik tambah beliau, pada 14 Julai 2017 Majlis Sukan Negara membayar semula sebanyak RM1 juta kepada Tetuan Lewis & Co. melalui cek.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menafikan telah melakukan pecah amanah sebanyak RM10 juta dengan memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.

Menurut beliau, wang tersebut dikeluarkan untuk tujuan pelaburan yang mana syarikat itu memerlukan modal berbayar sebanyak RM10 juta bagi memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak TNB Fuel Services Sdn. Bhd.

“Setakat pengetahuan saya, seperti mana yang dipersetujui, RM10 juta diberikan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. sebagai satu pelaburan yang kemudian ianya telah dibayar balik bersama-sama faedah sebanyak RM69,722.65.

Perbicaraan akan bersambung esok. – MalaysiaGazette