Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som melawat gerai makanan semasa hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri APMM 2022 di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri akan memulakan proses rundingan dengan negara sumber baharu untuk pengambilan pekerja asing dalam sektor keselamatan di negara ini.

Buat masa ini sektor keselamatan yang diuruskan syarikat swasta berlesen di negara ini mengguna dan menggaji pekerja asing dari Nepal untuk tugas pengawal keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan peringkat dasar untuk membuka dan mendapatkan peluang khidmat tenaga kerja asing sektor keselamatan dari negara sumber baharu selain Nepal telah dipersetujui.

“Kita akan memulakan rundingan berkaitan perkara ini secara serius dengan negara-negara sumber dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Tambah Hamzah, semua syarikat industri keselamatan berlesen di negara ini boleh mengemukakan permohonan bagi mendapatkan tenaga kerja terbabit.

“Permohonan tenaga kerja asing dalam sektor keselamatan sudah boleh dikemukakan selepas perbincangan dengan negara sumber diadakan nanti.

“Bagaimanapun kemasukan mereka (pekerja keselamatan) adalah bergantung kepada keputusan dari negara sumber baharu tersebut.

“Cuma kalau nak bawa masuk mereka (pekerja asing) perlulah mematuhi beberapa kriteria penting iaitu pekerja asing itu wajib memiliki pengalaman bekerja dalam sektor keselamatan di negara asal masing-masing,” tegasnya.

Sebelum ini pada November tahun lalu, KDN telah menyatakan cadangan untuk membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini untuk menggaji tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan.

Hamzah ketika itu berkata, perkara itu bagaimanapun masih  peringkat cadangan oleh kementerian dan akan diperincikan selepas perbincangan diadakan dengan pemain industri serta kementerian yang berkaitan.

Katanya, perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Pengumuman muktamad akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

“Ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette