Dr Azizan Osman kini berada di New York, Amerika Syarikat menghadiri kelas akhirnya di Columbia Business School bagi mendapatkan pelbagai kajian dan strategi untuk bangkit selepas pandemik ditambah dengan cabaran ekonomi sejak 6 Syawal lalu.

KUALA LUMPUR – Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman ‘menjemput’ golongan usahawan dan netizen agar datang berjumpa beliau sekiranya ingin mengetahui bagaimana bisnes dapat bertahan dalam tempoh mencabar ini.

Menurut beliau, syarikat miliknya, RichWorks bakal menganjurkan program 10x Bina Bisnes Berjaya 2022 – Bangkit Bisnes Dari Krisis dalam menyokong dan membantu usahawan ketika ini.

“Program ini tiada online langsung, 100 peratus diadakan secara fizikal di mana anda perlu hadir ke dewan.

“Tak ada lari-lari, sembunyi dalam kereta atau gua. Tak puas hati datang cakap berdepan, jangan pakai akaun palsu, nama entah apa-apa komen, ini semua loser,” katanya.

Azizan kini berada di New York menghadiri kelas akhirnya di Columbia Business School bagi mendapatkan pelbagai kajian dan strategi untuk bangkit selepas pandemik ditambah dengan cabaran ekonomi sejak 6 Syawal lalu.

Sebelum ini, tular bila seorang YouTuber, Jebat Derhaka mempersoalkan RichWorks sebagai tempat melahirkan usahawan jutawan hingga menimbulkan pelbagai komen netizen termasuk artis rap, Caprice.

Komen-komen diterima mempersoalkan keberkesanan bimbingan dan latihan diberikan RichWorks yang dikatakan mahal, soal kekayaan dan berniaga air liur, malah terdapat pengguna media sosial membangkitkan isu produk Jajan Jijan.

Tambah Azizan, program itu ditaja sepenuhnya sempena ulang tahun ke-14 RichWorks bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC).

“Golongan usahawan bakal dipersiapkan dengan strategi dan panduan secara langsung bagi menyediakan mereka menguruskan bisnes semasa tempoh mencabar ini.

“Ini bukan kelas motivasi, ini kelas strategi yang mana mereka akan belajar tentang apa saya lalui di sini (Columbia Business School) agar mampu urus keadaan krisis ekonomi dalaman malah luaran,” ujarya.

Sehubungan itu, Azizan ingin bersua muka dengan usahawan, pengasas perniagaan, pengilang, pengeluar tidak kira peniaga mikro, kecil dan sederhana, selagi melakukan bisnes dalam pelbagai industri.

“Mereka akan lebih jelas, nampak dan tahu apa pelan segera yang perlu dibuat sekurang-kurang dapat survive dalam tempoh mencabar ini.

“Bagi usahawan yang tidak boleh tidur malam disebabkan bisnes bila memikirkan soal jualan, pelanggan, kos barangan dan tak tahu macam mana nak urus situasi ketika ini, anda dijemput pohon untuk sertai,” katanya.

Menurut Azizan, ia bukan mengenai berapa ramai orang yang menyertai program itu, tetapi berapa ramai orang yang betul-betul mahu berniaga yang boleh disokongnya.

“Akhirnya, benda kita pentingkan adalah result matters. Kita sembang results boleh, kita tak sembang kari,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai produk Jajan Jijan, Azizan memberitahu, ia dikeluarkan sebagai kajian kes bagaimana mahu mengeluarkan produk dalam program dijalankan sebelum ini.

Haters suka nak spin, masa itu saya keluarkan produk keropok pedas untuk buat demonstrasi dalam kelas Marketing Power.

“Kami tempah 3,000 keropok dibawa dalam dewan dan tak sampai lima minit sudah habis. Kami minta tambah lagi, namun pembekal tidak mampu nak hantar disebabkan ikan dan pekerja tak cukup yang kemudian dijadikan kajian kes kepada peserta kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azizan berkata, usahawan berminat untuk menyertai program tersebut boleh memohon menerusi laman web binabisnesberjaya.com.

“Program ini juga bagi usahawan-usahawan yang hadiri program RichWorks secara virtual sejak pandemik dua tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast