Ruang legar di UTC Kotaraya, Johor Bahru akan menjadi ruang menunggu kepada pengguna di pusat berkenaan.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berjanji rungutan orang ramai yang terpaksa beratur panjang ketika berurusan dengan Pusat Pengeluar Pasport (PPP) di  Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru akan selesai esok.

Katanya, menerusi perbincangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor bersetuju menambah kaunter tambahan dan tempat menunggu di ruang legar Galleria Kotaraya, di sini.

“Proses pendaftaran, pemberian nombor serta klasifikasi permohonan akan dilakukan di kaunter tersebut, sebelum pemohon dibenarkan ke PPP yang terletak di Tingkat 2, bangunan yang sama.

“Semoga usaha ini dapat meredakan sedikit keresahan orang ramai yang terpaksa beratur panjang.

“Terima kasih JIM Johor yang tuntas dalam menyantuni para pelanggannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan keluhan warga Johor Bahru yang terpaksa menunggu lebih lima jam hanya untuk mengambil pasport mereka setelah permohonan dilakukan melalui sistem online.

Bagaimanapun rata-rata mereka kesal sistem online yang diguna pakai seharusnya memudahkan mereka, namun ia tidak seperti digambarkan. – MalaysiaGazette