Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meraih satu lagi pencapaian membanggakan apabila melompat ke satu anak tangga di ranking kelima dunia.

Ia merupakan satu kedudukan terbaik yang pernah dicapainya.

Menerusi kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), jaguh perseorangan negara berusia 24 tahun itu memintas pemain perseorangan Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting yang jatuh di tangga keenam.

Bintang Denmark, Viktor Axelsen kekal menduduki ranking pertama dunia diikuti jaguh Jepun, Kento Momota di kedudukan kedua manakala rakan senegara Axelsen, Anders Antonsen turut kekal di ranking ketiga.

Pemain perseorangan Taiwan, Chou Tien Chen yang mengungguli lima daripada tujuh pertemuan dengan Jii Zia kekal di kedudukan keempat dunia.

Kejayaan Zii Jia memperbaiki kedudukan rankingnya didorong beberapa pencapaian membanggakan iaitu muncul juara Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada 1 Mei lalu serta terbaru memenangi Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lepas. – MalaysiaGazette