MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di negeri ini pada 2019.

Menurut sumber SPRM, kesemua mereka yang berusia 38 hingga 49 tahun dan merupakan pengarah serta pemilik syarikat ditahan di negeri ini dan Kuala Lumpur, semalam.

“Seorang daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah manakala lima lagi ditahan di SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara 10.28 pagi hingga 5.24 petang,” kata sumber itu.

Kesemua mereka dipercayai menggunakan penyata akaun banyak syarikat yang palsu dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sumber itu memaklumkan SPRM mengambil tindakan dengan merekodkan percakapan mereka selain saksi terlibat serta mendapatkan dokumen yang relevan dalam kes itu.

“Kesemuanya akan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 serta penjamin,” menurut sumber itu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama