Setiap negara perlu memberi perhatian kepada isu keselamatan makanan dan Malaysia pula tidak harus terlalu bergantung kepada import makanan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan untuk meluluskan lebih banyak tanah pertanian termasuk lesen pendudukan sementara (TOL) 10 tahun untuk menghadapi kemungkinan krisis makanan.

Pakar ekonomi, Lee Heng Guie berkata, kemampanan pertanian berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan termasuk kekurangan buruh, tanah terbiar, kebergantungan terhadap buruh asing, serta teknologi dan kualiti produk yang rendah.

Katanya, isu kekurangan makanan semakin membimbangkan dan antara punca masalahnya adalah tanah pertanian yang tidak mencukupi.

Beliau berkata, Malaysia hanya mempunyai 8.1 juta hektar tanah pertanian.

“Pada 2020, kita mempunyai 5.5 peratus tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian  dan hampir 450,000 hektar tanah digunakan untuk menanam sayur, buah-buahan dan tanaman komersial lain.

“Selain itu, keluasan tanah untuk tanaman sawit mencecah 5.9 juta hektar dan 1.1 juta hektar untuk getah,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Heng Guie berkata, Malaysia perlu memberi fokus semula kepada pertanian untuk menghadapi kos makanan dan kos import yang semakin meningkat.

Katanya, Malaysia menghabiskan purata RM33.7 bilion setahun dari 2017 hingga 2021 untuk mengimport makanan bagi penggunaan domestik.

Ujarnya, setiap negara perlu memberi perhatian kepada isu keselamatan makanan dan Malaysia pula tidak harus terlalu bergantung kepada import makanan.

Tambahnya, kajian harus dilakukan untuk mengenal pasti tanaman yang wajar dibangunkan. – MalaysiaGazette