Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum – WEF), untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021 serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Ini akan membantu mempercepatkan penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19.

Penubuhan pusat ini, juga yang pertama di Asia Tenggara, menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik, serta menyokong aspirasinya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Kementerian Kewangan berkata, C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif. Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi.

C4IR akan ditubuhkan secara rasmi dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua 2022.

Penubuhan C4IR diumumkan bagi pihak Kerajaan Malaysia oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, sempena Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia berlangsung sejak 23 Mei hingga 26 Mei ini.

”Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya, dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa
dekad akan datang.

”Sehubungan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi.

”Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin,” kata Tengku Zafrul sempena kehadiran di Mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Davos hari ini.

Kementerian Kewangan menambah, sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi & Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi.

Forum Ekonomi Dunia juga akan terus memainkan peranan kolaboratif dalam pengoperasian C4IR. Pemaanfaat utama agenda 4IR Malaysia termasuk golongan belia (cth., melalui akses yang lebih baik kepada kaedah pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang dikuasakan oleh Edutech); perusahaan sosial (cth., menyelesaikan isu sosio-ekonomi, memudahkan penggunaan digital dan merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar); sektor perniagaan (membangunkan kapasiti dikuasakan 4IR berasaskan industri dan sektor) dan sektor awam (cth., memanfaatkan data raya bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast