Home Nasional Mendapan tanah projek lama salah satu punca KL banjir – Anwar

Mendapan tanah projek lama salah satu punca KL banjir – Anwar

KUALA LUMPUR – Banjir kilat yang sekali lagi melanda Kuala Lumpur hari ini berjaya ditangani oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pantas susulan ramalan Jabatan Meteorologi mengenai berlaku hujan lebat.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain berkata, pihaknya dapat mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan sesetengah kawasan di ibu kota dinaiki air.

Menurut beliau, akibat hujan lebat yang mula turun sejak pukul 10 pagi selama satu jam  menyebabkan sejumlah enam kawasan terlibat dengan kenaikan paras air.

Anwar menyatakan salah satu puncanya adalah akibat mendapan tanah di dalam longkang di tepi jalan yang menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan tersekat di Jalan Dutamas 2 dan Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching.

Mendapan tanah di Jalan Dutamas 2 itu berpunca daripada projek pembangunan lama milik syarikat swasta.

“Kelodak hasil daripada projek itu masuk ke dalam longkang dan menjadi mendapan, oleh kerana tempat itu seperti yang kita kata bukan hotspot, jadi kita tak beri tumpuan.

“Sebelum ini di Jalan Dutamas itu tidak pernah terlibat dengan kenaikan air, ini baru pertama kali berlaku,” katanya.

Menurut Anwar, DBKL juga telah mengarahkan petugasnya dan dibantu pekerja Alam Flora untuk membersihkan kawasan itu terlebih dahulu.

Untuk mengelak punca air melimpah berlaku, Anwar meminta orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam longkang.

Sebelum ini DBKL di laman Facebooknya turut memuatnaik rakaman video berdurasi lapan saat yang memaparkan petugas pembersihan Dewan itu mengeluarkan patung beruang yang tersekat di longkang di Bulatan Merdeka.

Dalam pada masa sama, Anwar memberitahu, para pemaju perlu sentiasa menjaga longkang-longkang berhampiran perimeter tapak projek masing-masing  kerana hasil pemantauan pihaknya mendapati terdapat batuan sedimen daripada projek pembangunan yang masuk ke longkang dan menutup saliran air.

Tambahnya, lokasi lebih rendah daripada paras air juga menjadi salah satu punca banjir seperti Jalan Rahmat yang berada di Sungai Gombak dan Jalan Ampang berhampiran Sungai Klang.

Namun DBKL telah mula meletakkan beg pasir di beberapa kawasan seperti di Sungai Bras-Bras, Jalan Parlimen, Jalan Rahmat dan Lebuh Ampang sebagai langkah interim tebatan banjir di kawasan paras rendah.

Katanya lagi, taburan hujan yang melebihi pada jangka masa sama juga menjadi salah satu punca enam kawasan di Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Segambut, Jalan Dutamas 2, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas) dinaiki air.

Anwar berkata, air yang bertakung tersebut surut dalam tempoh 30 hingga 35 minit dan tiada kerosakan besar dan kemalangan jiwa dilaporkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast