Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Pengusaha Kilang serta Wakil Komuniti Daerah Seri Alam di Dewan Serbaguna Taman Mawar hari ini.

PASIR GUDANG – Lima individu yang bertindak menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan denganĀ  memperdaya mangsa sebelum diserahkan kepada sindiket melakukan kerja-kerja Macau Scam berjaya ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, taktik terbaharu sindiket itu terbongkar apabila pihaknya menerima laporan daripada beberapa individu yang menghadiri sesi temuduga dikendalikan sindiket berkenaan.

“Hasil siasatan dilakukan pihak polis menahan lima individu pada awal minggu ini bagi membantu siasatan. Tindakan dilakukan berdasarkan aduan diterima daripada kumpulan pencari kerja terdiri daripada warga tempatan.

“Mereka mendakwa ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan berkenaan dengan sejumlah pendapatan lumayan. Bagi mengelak masalah tidak diingini, mereka membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Pengusaha Kilang serta Wakil Komuniti Daerah Seri Alam di Dewan Serbaguna Taman Mawar hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak.

Kamarul Zaman berkata, polis masih menjalankan siasatan dan yakin akan membuat tangkapan susulan dalam tempoh terdekat.

“Jadi saya nasihatkan orang ramai terutama kepada pencari kerja dinasihati berhati-hati dengan sebarang tawaran kerja seumpama ini,” katanya.- MalaysiaGazette