Lori yang digunakan untuk melakukan aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi dirampas.

JOHOR BAHRU – Satu sindiket yang baru sebulan aktif dalam kegiatan menyeludup minyak diesel bersubsidi namun berjaya dipatahkan pihak berkuasa dalam Op Kontraban Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Sindiket berkenaan tumpas dalam serbuan di Kawasan Taman Perindustrian Seri Plentong, Masai di sini pada Isnin lalu.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun ditahan ketika sedang melakukan kegiatan itu kira-kira pukul 9.30 malam.


Dalam kejadian itu pihaknya merampas 6,800 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM14,620.

Suspek yang ditahan itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk memiliki menyimpan dan membawa barang kawalan tersebut.

“Pasukan serbuan turut merampas tong putih berkapasiti 1,000 liter, dua mesin pam minyak dan sebuah lori. Nilai anggaran kesemua rampasan RM111,620 termasuk minyak diesel.

“Semua barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.

Sementara itu pihaknya meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan perlanggaran  jenayah kepada pihak berkuasa terutamanya Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ditalian 07-2372221 @ 07-2372222.- MalaysiaGazette