Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) pada sidang media mengenai operasi haji musim 1443H/2022M di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik di tanah suci pada musim haji tahun ini walaupun jumlah petugasnya terpaksa dikurangkan sebanyak 45 peratus.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, walaupun pihaknya hanya dibenarkan menghantar 340 petugas sahaja, namun ia tidak akan menjejaskan kualiti TH seperti mana tahun-tahun sebelum ini.

“Bakal haji akan menerima perkhidmatan yang sama seperti musim haji lalu walaupun dalam keadaan Covid-19 dan jumlah jemaah haji dan petugas haji terhad, yang telah dikurangkan sebanyak 45 peratus.

“Walaupun keadaan begitu, tetapi TH masih lagi akan mengekalkan perkhidmatan dan kemudahan yang sama kepada bakal haji pada tahun ini,” katanya pada sidang media di Menara TH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut beliau, TH dengan kerjasama Bank Islam akan mengeluarkan Kad Debit Visa khusus untuk kegunaan bakal jemaah haji di Tanah Suci nanti.

“Kad debit ini bagi memudahkan urusan pembelian barang dan membuat pembayaran di tanah suci nanti.

“Bagi kemudahan ini, Bank Islam akan menyediakan kaunter di kaunter perdana dan stesen berlepas untuk mendapatkan kad debit.

“Bakal haji kena biasakan transaksi tanpa tunai kerana ia Kerajaan Arab Saudi telah membiasakan rakyat membuat transaksi tanpa tunai,” katanya.

Selain itu, TH juga akan membekalkan kad sim telefon kepada jemaah haji secara percuma sebaik sahaja mereka tiba di tanah suci bermula 4 Jun ini.

“TH telah membuat urusan dengan pembekal perkhidmatan telefon di sana.

“Kad sim percuma kepada semua jemaah haji diberikan selepas ketibaan di penginapan masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette