senior citizen Victim, Zainoldin Hussain during a news conference on being assaulted by a motorcyclist at Kampung Padang Jawa Shah Alam, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 25 MAY 2022.
Victim, Zainoldin Hussain during a news conference on being assaulted by a motorcyclist at Kampung Padang Jawa Shah Alam, Selangor. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 25 MAY 2022. Mangsa, Zainoldin Hussain ketika bercakap pada sidang media mengenai diserang oleh seorang penunggang motosikal di Kampung Padang Jawa Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 MEI 2022.

SHAH ALAM – Seorang warga emas menafikan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penunggang motosikal yang menyebabkan beliau dipukul di Padang Jawa, dekat sini, pada Ahad lalu.

Malah Zainoldin Hussain, 61, berkata, beliau tidak pernah memanggil penduduk kampung untuk memukul pemuda yang berusia 23 tahun itu.

Zainoldin yang sebak ketika sidang media pada hari ini menyifatkan segala tomahan dilemparkan warganet terhadapnya adalah keterlaluan dan sukar diterima.

“Tujuan utama saya mengadakan sidang media ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai andaian yang tidak tepat pada diri saya, contoh ada yang mengatakan saya dipukul pasal perempuan, langgar orang dan beri duit RM200. Saya tidak sanggup lagi baca komen-komen berkenaan, mental saya tidak kuat.

“Saya tidak ada tunjuk isyarat tidak senonoh, saya sudah tua. Saya kena malu dengan diri saya dan dengan Tuhan saya tidak ada buat benda begitu jujur memang tidak ada,” katanya pada sidang media di kediamannya, di Kampung Padang Jawa, dekat sini, hari ini.

Penunggang motosikal tersebut telah direman selama empat hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat di bawah disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan

Mengimbas kembali kejadian itu, Zainoldin berkata, dia berada di simpang sebelum membelok ke kanan untuk menuju ke Alam Avenue.

Katanya, secara tiba-tiba penunggang motosikal itu menjerit kepadanya sebelum memukulnya beberapa kali.

Bimbang tentang kesihatannya selepas menjalani dialisis sehari sebelum kejadian, Zainoldin berkata, beliau hanya memikirkan untuk memastikan lengan kiri beliau tidak cedera semasa ditumbuk pemuda itu.

Jelas beliau, ini kerana lengan kirinya merupakan tempat saluran tiub dialisis dimasukkan setiap kali menerima rawatan.

“Masa nak naik jambatan saya duduk sebelah kanan, saya tidak pasti motor itu sudah ada di belakang saya. Masa itu tiba-tiba saya dengar orang menjerit sahaja saya tidak pasti apa dia jerit.

“Jadi saya berhentikan kereta saya sebab saya nak ambil tahu adakah saya langgar dia atau dia langgar saya, saya nak tengok keadaan kereta saya. Lepas itu dia patah balik meluru ke arah saya, tidak cakap banyak terus terajang saya,” tambahnya.

Ekoran kejadian itu, warga emas berkenaan cedera di muka, bahagian kepala, mata kiri dan rusuk.

Meskipun begitu, Zainoldin enggan memanjangkan isu berkenaan dan beliau mengambil pendekatan memaafkan perbuatan penunggang motosikal berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya anggap pemuda itu macam anak saya. Saya sebagai orang tua perlu ada rasa kasih sayang dan orang muda perlu hormat kita. Kalau dia datang pun saya akan maafkan dia dengan ikhlas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan dan Keselamatan Kampung Padang Jawa, Mohd Azri Said yang hadir pada sidang media tersebut berharap kejadian berkenaan tidak akan berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.