Migran disembunyikan dalam ruang petak ikan bawah lantai bot.

ALOR SETAR – Dua penjawat awam antara empat suspek yang ditahan bersama sekumpulan etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah, di sini, pada Selasa lalu.

Tangkapan dilakukan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah ketika membuat rondaan Operasi Aman di perairan itu pada jam 9.20 malam.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Polis Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan itu membawa kepada penemuan 119 etnik Rohingya yang disembunyikan di ruang petak ikan bawah lain bot tersebut.

Wan Hassan.

Jelas beliau, 119 migran itu berusia lingkungan antara lima hingga 38 tahun dan mereka terdiri daripada 47 lelaki, perempuan (32), kanak-kanak perempuan (23) serta kanak-kanak lelaki (17).

“Manakala empat suspek tempatan yang ditahan berusia 32 hingga 39 tahun selain dua daripada mereka merupakan penjawat awam.

“Pihak kami sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) kerana disyaki menjalankan penyeludupan migran dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bot nelayan ini yang digunakan untuk menyeludup masuk 119 etnik Rohingya.

“Kesemua tangkapan juga direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama tempoh 28 hari manakala kesemua migran disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Wan Hassan, Polis Kedah sentiasa menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya isu melibatkan keselamatan serta imej negara.

“Justeru orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama dan tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette