Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan RM6 juta yang diterimanya ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Sarana Kencana Sdn Bhd sebagai rasuah.

Sebaliknya kata Presiden UMNO itu, wang tersebut yang diterima menerusi dua keping cek daripada syarikat tersebut adalah sumbangan politik.

Tambah beliau, dakwaan wang yang diterimanya itu sebagai balasan selepas melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) untuk projek perolehan pembekalan cip pasport selama lima tahun adalah fitnah.

“Yang Arif, ingin saya tegaskan keputusan untuk melantik DTSB bukan dari saya, saya tiada buat keputusan akhir kerana ianya bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).

“Untuk makluman, proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen berhubung penganugerahan projek kontrak polikarbonat kepada DTSB adalah teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak tersebut dianugerahkan kepada DTSB,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Antara tuduhan yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri termasuk suapan berjumlah RM6 juta sebagai upah melantik DTSB untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun.

Ia akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen menerusi rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Ahmad Zahid, bekas Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad yang juga saksi pendakwaan ke-32, Abu Hanifah pernah mendedahkan cek itu untuk tujuan amal jariah.

Jelasnya, saksi ke-34, Chew Ben Ben menyatakan sumbangan politik juga adalah sebahagian dari amal jariah. – MalaysiaGazette