Mahkamah Sesyen KL mendapati Datuk Peter Anthony terhadap pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony disabitkan bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 sebagai ganti hukuman penjara tambahan 15 bulan terhadap bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu.

Kesalahan ini dilakukan oleh Peter yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Malalap tujuh tahun lepas.

Pada 14 Dis 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi yang membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap Peter dan meneliti semua keterangan saksi-saksi dan hujahan kedua-dua pihak.

Malah Azura menolak bahawa pertuduhan ke atas Peter bermotifkan politik.

Menurut hakim itu, saksi pendakwaan juga tidak mempunyai kepentingan untuk memalsukan surat itu.

Selain itu,  keterangan lain turut menunjukkan hanya tertuduh ada motif dan peluang untuk melakukan kesalahan itu melalui Syarikat Asli Jati yang mempunyai kepentingan dalam kontrak tersebut.

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.

Beliau didakwa dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Pada 18 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemuka tiga saksi dengan Peter sebagai saksi pembelaan pertama pada prosiding yang bermula 9 Februari lalu.

Dua saksi lain ialah pembantu peribadi Peter, Imy Christopher, 36, dan pengurus forensik digital di Siaga Informatics Sdn Bhd, Nurul Aiman Azmail, 34.

Manakala seramai 15 saksi pendakwaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula April 2021.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya, pada akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram, manakala peguam S Devanandan mewakili Peter. – MalaysiaGazette