KUALA LUMPUR – Program berita, Buletin TV3 bakal mengundang semula penyampai-penyampai berita lagenda tanah air untuk kembali bersiaran bermula 26 Mei hingga 1 Jun ini.

Menerusi kenyataan di Instagram program, kesemua nama-nama besar ini dijemput semula sebagai penyampai berita bagi menjayakan sebuah projek istimewa bersempena ulang tahun TV3 yang ke-38.

“Anda mengenali wajah-wajah ini?

“Penyampai berita legenda akan kembali bersiaran dalam Buletin Utama, setiap hari dari 26 Mei sehingga 1 Jun 2022 sempena Ulang Tahun TV3 ke-38.

“Nantikan kemunculan mereka!,” tulis pengendali akaun tersebut.

Antara wajah-wajah penyampai berita yang dikongsikan di dalam poster adalah seperti Zakiah Anas, Fuad Abdul Rahman, Zainal Ariffin, Nurfarahin Jamsari, Azmi Aziz, Ezzah Aziz Fawzy dan Azura Karim.

TV3 bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-38 pada 1 Jun ini. – MalaysiaGazette