Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-5 BERSATU di Damansara Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan mengejutkan kerana ia memang telah dijangka.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu sudah dapat dibaca setelah parti itu membuat pertimbangan dan meneliti tindak tanduk beliau sejak akhir-akhir ini.

“Bersatu juga telah membincangkan kedudukan Zuraida.

“Surat tunjuk sebab juga dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, Biro Politik Bersatu telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti.

“Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Wan Saiful, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan calon sesuai dalam kalangan pemimpin Bersatu untuk menggantikan Zuraida.

Terdahulu, Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang membut pengumuman meninggalkan Bersatu dan mengesahkan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tindakan itu dibuat selepas membuat pertimbangan mendalam dan mempercayai perjuangan parti PBM.

Zuraida juga akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya akan berbincang tentang pendirian dan hala tuju PBM demi memperkukuhkan lagi Kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” tambahnya.

Buat masa ini, Zuraida berada di Turki bagi memenuhi undangan memberi ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untul Al-Quds dan Palestin. – MalaysiaGazette