Volodymyr Zelenskiy. Foto Reuters

 

KYIV – Presiden Volodymyr Zelenskiy menggesa Barat berhenti ‘bermain-main’ dengan Rusia dan mengenakan sekatan lebih keras ke atas Moscow untuk menamatkan “perang tidak masuk akal” di Ukraine.

Beliau berkata, Ukraine akan kekal merdeka cuma timbul persoalan ‘berapa harga yang perlu dibayar’.

Kritikan Zelenskiy terhadap Barat telah meningkat dalam beberapa hari ini apabila Kesatuan Eropah (EU) bergerak perlahan dalam melakukan sekatan minyak ke atas Rusia dan ketika beribu-ribu tentera Rusia cuba mengepung dua bandar utama timur Sievierodonetsk dan Lysychansk.

Tiga bulan selepas pencerobohan ke atas Ukraine, Rusia telah meninggalkan serangannya ke atas ibu kota Kyiv dan cuba untuk menyatukan kawalan wilayah perindustrian timur Donbas, yang mana ia telah menyokong pemberontakan pemisah sejak 2014.

Penganalisis tentera Barat melihat pertempuran di Sievierodonetsk dan Lysychansk sebagai titik perubahan yang berpotensi dalam perang selepas peralihan momentum ke arah Rusia berikutan penyerahan pasukan tentera Ukraine di Mariupol minggu lalu.

”Ukraine akan sentiasa menjadi negara merdeka dan ia tidak akan dipecahkan. Satu-satunya persoalan ialah berapa harga yang perlu dibayar oleh rakyat kita untuk kebebasan mereka dan berapa harga yang akan Rusia bayar untuk peperangan yang tidak masuk akal ini terhadap kita?

“Peristiwa malapetaka yang berlaku masih boleh dihentikan jika dunia menganggap situasi di Ukraine sama jika mereka yang menghadapinya, jangan ‘bermain-main’ dengan Rusia tetapi desaknya untuk menamatkan perang,” kata Zelenskiy dalam ucapan lewat malam pada Khamis.

Zelenskiy melahirkan rasa tidak puas hati tentang perselisihan pendapat dalam EU mengenai lebih banyak sekatan terhadap Rusia dan bertanya mengapa sesetengah negara dibenarkan menyekat rancangan itu.

EU sedang membincangkan pusingan keenam langkah punitif, termasuk sekatan ke atas import minyak Rusia.

Langkah begitu memerlukan sebulat suara tetapi Hungary menentang idea itu buat masa ini dengan alasan ekonominya akan menderita terlalu banyak.

“Berapa minggu lagi EU akan cuba bersetuju dengan pakej keenam?” Zelenskiy bertanya, sambil menyatakan Rusia menerima satu bilion euro sehari daripada blok 27 negara untuk bekalan tenaga.

”Tekanan ke atas Rusia sebenarnya adalah soal menyelamatkan nyawa. Setiap hari ada penangguhan, kelemahan, pelbagai pertikaian atau cadangan untuk ‘menenangkan’ penceroboh yang mengorbankan mangsa, bermakna lebih ramai rakyat Ukraine terbunuh,” kata Zelenskiy yang membuat kritikan tajam dua hari berturut-turut. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast