Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien

KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi berhubung permohonan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diumumkan oleh presiden parti itu Larry Sng, setelah beliau kembali dari luar negara.

Sng dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau akan berlepas ke luar negara hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Jun nanti.

“Saya baru dimaklumkan tentang pengumuman Yang Berhormat Datuk Zuraida Kamaruddin yang berhasrat menyertai PBM.

“Kami akan membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan kemasukannya apabila saya balik dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata pimpinan pusat parti akan membincangkan permohonan tersebut kerana ia adalah sebahagian daripada proses yang wajar dalam permohonan keahlian.

“Saya ingin mengulangi bahawa PBM mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi perjuangan parti,” katanya.

Semalam, Zuraida yang sebelum ini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti berkenaan dan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast