Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen MoA dengan syarikat MySutera.

KUALA LUMPUR – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan syarikat tekstil bumiputera tempatan My-Sutera Sdn. Bhd untuk berkongsi kepakaran aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta kepakaran dalam bidang pengurusan dan peruncitan.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Dato Dr Md Amin Md Taff, pelaksanaan program antara UPSI dan syarikat bumiputera yang membekalkan pakaian dan barangan keperluan persekolahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 90,000 alumni dengan faedah pengurangan 10 peratus pembelian barangan menerusi talian di pelantar laman sesawang SchoolMall dengan mengimbas kod QR yang disediakan khas buat alumni.

“UPSI amat bertuah dapat mengadakan kerjasama strategik bersama syarikat MySutera sebagai pelopor pembuatan pakaian baju sekolah jenama Canggih yang berkualiti tinggi sejak era tahun 1980-an lagi.

“Selain tawaran diskaun, hasil jualan tersebut akan dikongsikan kepada Tabung Alumni Care UPSI sekali gus memberi penjanaan kepada Pusat Alumni UPSI untuk menjalankan
kegiatan berkaitan aktiviti bersama bekas pelajar pusat pengajian ini,” jelasnya selepas menandatangani MoA di Kampus Sultan Abdul Jalil baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategik Kumpulan MySutera Sdn Bhd, Masnizam Hisham berkata, syarikatnya tekad berkongsi kepakaran kepada para pelajar menerusi pengalaman yang mereka miliki dalam industri tekstil dan beriltizam untuk  mengembangkan program perintis pelajar serta mempelawa para alumni yang terdiri daripada 50,000 guru sekolah menjana pendapatan sampingan menerusi galakan jualan sambilan.

Pusat Alumni UPSI turut menerima sumbangan sebanyak RM 2,475.25 daripada MySutera hasil jualan fasa pertama menerusi imbasan kod QR oleh orang ramai laman sesawang
SchoolMall. – MalaysiaGazette