Rakaman video yang menunjukkan kaki lelaki kulit hitam terjulur ketika dua anggota polis menutup but kereta selepas bom gas dilepaskan.

BRASILIA – Kematian seorang lelaki kulit hitam yang dipaksa masuk dalam but kereta polis lalu bom tangan gas dilepaskan telah mencetuskan kemarahan di Brazil.

Polis menahan Genivaldo de Jesus Santos, 38, di jalan raya di utara-timur bandar Umbauba, negeri Sergipe, pada hari Rabu.

Rakaman video menunjukkan dua anggota polis memasukkan lelaki itu ke dalam but dan asap tebal berkepul dari dalam kereta.

Laporan bedah siasat pada Khamis mengesahkan Santos meninggal dunia akibat sesak nafas.

Polis lebuh raya persekutuan Brazil berkata, prosiding tatatertib telah dibuka untuk menyiasat kelakuan anggota polis terlibat dan kematian Santos.

Ini kerana terdapat laporan bercanggah mengenai kejadian itu.

Satu kenyataan polis mengatakan Santos telah ditangkap kerana dia telah “melawan” polis dan ‘keagresifannya’ mendorong polis menggunakan kaedah tersebut untuk menahannya.

Tetapi anak saudara lelaki itu, Wallison de Jesus, memberitahu media tempatan dia berada di tempat kejadian dan bapa saudaranya sedang menunggang motosikal apabila pegawai polis lebuh raya persekutuan menghalang dan meminta Santos mengangkat bajunya.

Dia berkata, bapa saudaranya mengambil ubat preskripsi untuk skizofrenia dan berasa gementar apabila pegawai menemui ubat itu.

Wallison mendakwa, dia telah memberi amaran kepada polis tentang keadaan bapa saudaranya dan “kemudian penyeksaan bermula”.

Dia berkata, pegawai itu menghimpit Santos ke tanah dan memasukkannya ke dalam but kenderaan.

Rakaman video itu, yang disebarkan secara meluas dalam talian, menunjukkan kaki Santos terjuntai dari kereta dengan seluruh badannya di dalam.

Semasa dia menendang dan menjerit, dua anggota polis dilihat menolak pintu but, manakala bom tangan gas kelihatan dilepaskan ke dalam.

“Mereka akan membunuh lelaki itu,” kedengaran suara orang yang melihat pada masa sama kaki Santos berhenti bergerak.

Anak saudaranya berkata, anggota polis itu pergi ke balai dan membawanya ke hospital tetapi Santos sudah tidak sedarkan diri.

Satu kenyataan polis berkata, Santos disahkan meninggal dunia di hospital.

Bedah siasat oleh institut perubatan forensik negeri berkata, dia telah meninggal dunia akibat asfiksia tetapi ia tidak dapat menentukan puncanya.

Tetapi balu Encik Santos, Maria Fabiana dos Santos, menyifatkan kejadian itu sebagai “satu jenayah” dan memberitahu akhbar tempatan suaminya tidak pernah bertindak ganas.

Insiden itu telah membawa kepada kecaman meluas di seluruh Brazil, dengan ramai yang mengkritik tindakan polis yang didakwa sebagai tindakan perkauman.

Insiden itu berlaku pada ulang tahun dua tahun pembunuhan George Floyd, seorang lelaki kulit hitam, oleh polis di Amerika Syarikat. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast