KUALA LUMPUR – Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 individu dari Malaysia secara berperingkat hasil rundingan langsung yang dilakukan kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, rundingan itu penting kerana Malaysia berdepan persoalan ke mana pelarian berkenaan hendak dihantar sekiranya Myanmar sendiri sebelum ini enggan menerima mereka.
“Kalau kita tak iktiraf kerajaan Myanmar, kita nak berunding dengan siapa?” soalnya dalam podcast Sembang Ohh Yeahh sempena Hari Malaysia yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.
Menurut Anwar, beliau sendiri pernah mengadakan pertemuan dengan ketua junta Myanmar dan menegaskan Malaysia bukan musuh negara itu tetapi mahu jaminan supaya golongan berkenaan tidak dibunuh atau diusir.
Anwar berkata, dalam pertemuan itu, beliau turut menawarkan bantuan kemanusiaan termasuk hospital lapangan ketika Myanmar dilanda gempa bumi dengan syarat bantuan dapat disalurkan kepada kawasan terjejas.
Katanya, dalam pertemuan seterusnya, beliau turut membincangkan keperluan mencari jalan untuk membawa pulang mereka yang berada di Malaysia.
“Kalau tak boleh 200,000 sekali gus, ambil berperingkat,” katanya.
Anwar juga berkata, Myanmar kini bersetuju menerima 5,000 orang, manakala kira-kira 1,500 akan dibawa pulang dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Beliau berkata, Malaysia turut bersedia menanggung kos perjalanan, pakaian dan makanan bagi memudahkan proses penghantaran pulang.
“Lebih baik kita bayar sedikit daripada terbeban dengan bagi makan 100,000 orang di depot (tahanan),” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, penguatkuasaan tetap akan dilakukan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.
“Kalau dia salah di sisi undang-undang, kita tangkap. Saya dah beri arahan bila dia buat tunjuk perasaan di depan pejabat (UNCHR).
“Saya beri arahan. Saya minta polis ambil tindakan segera,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, tindakan tegas tidak bermakna mereka boleh dipukul, dihina atau dilayan tanpa kemanusiaan.
“Malaysia ini menjaga imej negara kita yang ada kemanusiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















