Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) bersama Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Seri Lim Hock San (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book Of Record, Christopher Wong (kiri) melancarkan gimik pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Record- LBS Bina Group Berhad Syarikat mempunyai bilangan rumah contoh terbanyak di dalam galeri jualan Projek Perumahan di Galeri Kita Cybersouth, Selangor. Foto MUHD NA'IM 27 MEI 2022.

DENGKIL – Semua pihak perlu menghormati hak prerogatif Perdana Menteri dalam melantik menteri Kabinet seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seorang yang sangat konsultatif terutama dalam urusan pelantikan sebagai menteri Kabinet.

“Pelantikan dan pengguguran menteri adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri. Ini termaktub di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau boleh dalam soal (pelantikan menteri Kabinet) ini, kita perlu letakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri dan biar dia tentukan.

“Kita biarkan perkara itu kepada beliau, dia ada kebijaksanaan sendiri dan bayangkan, beliau satu-satunya Perdana Menteri yang berjaya wujudkan memorandum kerjasama (MoU) yang tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya ketika ditanya pemberita berhubung pelantikan menteri Kabinet susulan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada LBS Bina Group Berhad (LBS) di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan menyertai PBM dan beliau akan berjumpa Ismail Sabri dalam masa terdekat, untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Susulan itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Zuraida yang mengumumkan keluar parti berkenaan.

Muhyiddin berkata tindakan itu diambil, memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah atas kuota parti itu.

Pada majlis itu, Reezal Merican menyaksikan penyerahan sijil MBOR iaitu Syarikat Pemaju Yang Mempunyai Bilangan Rumah Contoh Terbanyak Di Dalam Galeri Jualan untuk Projek Perumahan kepada LBS Bina Group Berhad.

Sijil MBOR itu diserahkan Ketua Pegawai Operasi MBOR Christopher Wong kepada Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad Tan Sri Lim Hock San. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast