JITRA – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menafikan ura-ura mengatakan bahawa dia akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata beliau selesa berada di Jerlun, dan tidak ada sebab untuk berpindah ke kerusi lain termasuk Langkawi yang kini disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Setakat ini tidak ada keputusan apa-apa, tapi saya lebih selesa kekal di Jerlun. Sebab ini tempat saya dari dahulu. Tidak ada sebab untuk saya pindah ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Jerlun merangkap presiden Pejuang yang diadakan di Dataran Sungai Korok, di Jerlun dekat sini.
Pada Mac lalu, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri dilaporkan berkata beliau tidak akan bertanding pada PRU15 akan datang, berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih.
Pengumuman Dr Mahathir itu yang juga pengerusi Pejuang sekaligus menimbulkan khabar angin yang mengatakan Mukhriz akan meninggalkan kerusi Jerlun dan bertanding di Langkawi.
Sementara itu, mengulas mengenai penerimaan Pejuang di Kedah, Mukhriz berkata parti itu sememangnya mendapat tempat yang baik dalam kalangan rakyat negeri Kedah, kerana kebanyakan pemimpinnya berasal dari negeri itu.
“Penerimaan terhadap Pejuang di Kedah sedikit berbeza dengan negeri lain, tapi itu tidak bermakna kita tidak memberi perhatian kepada negeri lain, (sebab) negeri lain penting juga,” katanya.- BERNAMA