Dr. Daroyah (kiri) dan Zuraida.

KUALA LUMPUR – Langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengembirakan kepimpinan sayap wanita parti tersebut.

Ketuanya, Dr. Daroyah Alwi menyifatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sebagai Iron Lady dan penyertaan beliau memberikan keuntungan kepada parti politik baharu itu.

“PBM mengalu-alukan kemasukan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Datuk Zuraida Kamaruddin memperkasa kepimpinan PBM.

“Kenyataan media yang dikeluarkan iron lady yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semalam adalah satu berita yang mengembirakan dan bakal memberi keuntungan kepada parti khasnya bagi sayap pergerakan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Daroyah Alwi

Tambah Dr. Daroyah, pengalaman bernilai Zuraida akan menjadi aset berharga buat partinya.

Justeru beliau merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengekalkan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Pengalaman bernilai Ahli Parlimen Ampang yang benar-benar peduli dan peka terhadap nasib rakyat itu bakal menjadi aset berharga buat kami di PBM.

“Melihat prestasi cemerlang beliau dan selaras pendirian PBM menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri wajar memberi pertimbangan sebaiknya untuk mengekalkan jawatannya demi memastikan kementerian itu terus dipacu unggul mengikut apa yang telah dirancang,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu, perjuangan Zuraida dalam memperkasakan wanita tidak boleh disangkal.

Ini kerana Zuraida terus teguh bersama usul perjuangannya iaitu wanita di Malaysia harus diberikan pembelaan dan pemberdayaan sewajarnya.

Perjuangan itu telah dibawa Zuraida bermula sebagai aktivis kemudian menjadi ahli politik, ahli Parlimen dan kini sebagai menteri.

“Beliau konsisten mempertahankan hak dan mengangkat martabat wanita di negara ini bukan sahaja dalam gelanggang Dewan Rakyat malah peringkat antarabangsa.

“Beliau juga merupakan satu-satunya pemimpin wanita Malaysia yang dilantik sebagai duta oleh Women Political Leader (WPL) sebuah yayasan antarabangsa yang berpusat di Iceland dan dianggotai pemimpin politik wanita seluruh dunia,” kata Daroyah.

Menurut beliau, kebolehan dan pengalaman luas Zuraida dalam pentadbiran telah membantunya untuk mengangkat prestasi kementerian yang diterajuinya.

Malah ketegasan keperibadian dalam mempertahankan dan memperjuangkan setiap apa yang dibawa Zuraida adalah meyakinkan selain beliau dianggap progresif dan intelek dalam membuat keputusan.

Semalam, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai PBM tetapi akan tetap menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Daroyah dan Zuraida merupakan bekas pemimpin PKR yang keluar daripada parti itu pada 2020. – MalaysiaGazette