Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) menunjukkan Kad UCHR yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Bukit Raja, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diminta tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kad perlindungan semata-mata atas persetujuan Rohingya Society Malaysia, yang menunjukkan mereka seolah-olah kedua-duanya bekerjasama dalam sperkara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau akan mencari bukti-bukti lain bahawa terdapat perkara tersembunyi yang dilakukan oleh persatuan itu yang seakan-akan lebih berkuasa mengeluarkan kad identiti untuk menetap di sini, lebih-lebih lagi etnik Rohingya.

“Kita nak beritahu UNHCR, ini negara kita, jangan keluarkan kad sewenang-wenangnya atas persetujuan Rohingnya Society Malaysia. Mana boleh sesuatu persatuan yang tidak didaftarkan secara sah mengeluarkan surat yang mengatakan warga PATI ini patut diberikan perlindungan”

“Ini dah nampak putik-putik yang terlindung, kita akan mencari lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan semua pihak termasuk UNHCR”

“Dahulu kita bagi tinggal sementara disini, tapi kalau dah banyak kali buat silap, ternyata ada justifikasi untuk tidak lagi membenarkan terus tinggal disini dimana ianya boleh menyebabkan kesalahan yang lebih besar” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas serbuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Jalan Pasar Baru, Meru, Klang yang dilakukan Jabatan Imigresen malam semalam.

Daripada pemantauannya, beliau mendapati anak-anak kelahiran etnik Rohingya secara automatik diberikan kad UNHCR dan ia bakal membebankan negara.

“Tentang pendudukan PATI yang tidak mempunyai dokumen, jika mereka mempunyai kad UNHCR sekali pun, kita beranggapan mereka sebagai seorang yang tidak mempunyai dokumen yang sah”

“Macam mana UNHCR ini mengeluarkan kad ini sehinggakan kad ini menjadi sesuatu yang sah untuk mereka tinggal di sini, walhal datang sebagai pelarian”

“Sepatutnya UNHCR mendapatkan kepastian terlebih dahulu sama ada seseorang itu pelarian atau tidak, kita sendiri yang akan tentukan”

“Saya tak nak menuduh, tapi saya yakin bahawa ada tindakan UNHCR yang menguntungkan beberapa kumpulan” ujarnya.  -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast