Para nelayan membawa naik hasil laut yang tidak terjejas untuk dipasarkan kepada orang awam walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di seluruh negara dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jeti Sungai Labu, Bagan Sekinchan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2021.

TAIPING – Masalah birokrasi dan sistem penyampaian yang lemah dikenal pasti sebagai punca kekurangan bekalan ikan di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kelemahan tersebut jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kekurangan bekalan ikan terus berlarutan.

“Keadaaan ini berlaku sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga ikan dan rakyat memerlukan bantuan segera. Sekarang simpanan ikan tidak ada, kalau ada… kita boleh bagi percuma kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pengerusi LKIM Bersama Nelayan dan Masyarakat di Changkat Jering, dekat sini, malam tadi.

Pada 22 Mei lepas, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, pendaratan ikan terutama di utara Semenanjung Malaysia berkurangan hingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lepas.

Syed Abu Hussin berkata, beliau telah membentangkan masalah bekalan ikan kepada Lembaga Pengarah yang dianggotai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi supaya melakukan tindakan segera dalam hal itu namun masih tiada jawapan balas.

“Sampai hari ini LKIM belum lagi mula menyimpan ikan sedangkan kita mempunyai kilang membeku ikan tetapi tidak jalan dan 1,000 tan metrik tong sejuk beku yang kita ada juga terbiar. Ikan sejuk beku boleh disimpan sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, persediaan perlu dibuat dengan membeli lebih banyak ikan untuk disimpan memandangkan keadaan laut ketika ini bukan musim tengkujuh.

“Kita mempunyai Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kalau terdesak dan ikan berkurangan… di mana kita hendak mencarinya. Bagi mengatasi krisis bekalan ikan, hendaklah cepat-cepat turun ke laut,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast