Tze Tzin mengadakan perbincangan dengan peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti pengeluaran rantaian makanan dalam negara bagi mengelakkan kebergantungan pasaran import.

Jelas beliau, ia kerana negara akan berdepan situasi isu sekuriti makanan sekiranya terlalu bergantung dengan pasaran luar, sekali gus lonjakan kenaikan harga barang boleh berlaku apabila negara pengimport terjejas bekalan.

Tze Tzin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan, kadar import makanan negara dilaporkan RM55 bilion setahun dan jumlah itu mungkin meningkat sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah drastik memantapkan pertanian serta penternakan dalam negara.

Tze Tzin.

“Berdasarkan maklum balas daripada peniaga ayam di sini (Bayan Baru) saya dapati isu kekurangan bekalan ayam masih belum selesai. Rata-rata mereka mendakwa hanya menerima 50 peratus bekalan daripada jumlah tempahan sebenar.

“Jadi saya gesa kerajaan untuk cari jalan penyelesaian kerana pemansuhan permit import (AP) yang diumumkan oleh kerajaan dilihat baik tetapi tidak membawa kesan yang banyak.

“Apa yang saya lihat penternak tempatan mempunyai kebolehan untuk membekalkan rantaian makanan buat negara sekiranya kerajaan memberikan penyelesaian yang optimum termasuk dalam bentuk teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penjualan ayam mentah di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tze Tzin juga menggesa kerajaan memberikan penjelasan halu tuju rantaian makanan sama pemberian subsidi 60 sen yang diberikan selama ini akan dinaikkan atau sebaliknya.

“Berbaki seminggu lagi untuk Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) berakhir iaitu 4 Jun jadi mereka (penternak/ pembekal) menunggu pengumuman kerajaan.

“Pengumuman berhubung status SKHKM itu penting kerana landskap pasaran ayam kini telah berubah susulan kenaikan kos ternakan. Selain itu, SKHKM kali ini merupakan terpanjang dalam sejarah negara,” ujar beliau.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, kerajaan dicadangkan memiliki ladang ayam bagi memastikan bekalan bahan mentah itu sentiasa stabil di negara.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ladang ayam berkenaan berkemungkinan boleh diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang penternakan. – MalaysiaGazette