Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas diplomat yang disiasat kes penanaman kira-kira 100 pokok ganja bersama anaknya telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh remannya tamat semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anak lelakinya masih ditahan reman sehingga esok.

“Seorang bekas diplomat berusia 78 tahun dan bergelar Datuk itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh remannya tamat semalam.

“Manakala anak lelakinya masih ditahan reman oleh polis sehingga esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini tengahari tadi.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, Ayob Khan menegaskan polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan membabitkan kes penemuan kira-kira 100 pokok ganja yang ditanam sekitar rumah suspek di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lalu.

Selepas siap, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan tindakan selanjutnya.

Pada Selasa lalu, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang media khas di Kuantan berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira pukul 6.10 petang di kediaman suspek pada 21 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan di kawasan belakang garaj rumah bekas Diplomat Malaysia itu pihak polis menjumpai lima batas tanah yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja.

“Jumlah keseluruhan rampasan disyaki pokok ganja adalah sebanyak 102 pokok dan nilai anggaran bagi setiap satu pokok adalah RM600 dengan nilai keseluruhan RM61,200,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 21 Mei hingga semalam dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, susulan tangkapan suspek tersebut, seorang lelaki berumur 53 tahun yang juga anak suspek ditahan di Shah Alam kira-kira pukul 5.30 petang pada Isnin lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6B akta sama.

Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6B akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(1)(A) akta sama.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak bekas duta tanam 102 pokok ganja keliling rumah