Lelaki yang ditahan di ibu negara dan merampas plastik lutsinar yang mengandungi dadah kristal dalam Ops Samseng sejak jumaat lalu.Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang lelaki yang didapati melakukan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol telah ditahan polis di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, mereka ditangkap dalam Operasi Bersepadu, Op Samseng Jalanan, Op Had Laju, Op Motosikal serta Op Mabuk yang diadakan hujung minggu ini bermula Jumaat lalu.

Seramai 19 pegawai kanan dan 115 pegawai rendah Polis  terlibat dalam operasi bersepadu di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Lebuhraya DUKE dan AKLEH.

Dalam operasi tersebut, JSPT KL telah berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar ( JAS ) dengan kehadiran kekuatan seramai 17 orang di Jalan Kuching dan sebanyak 30 kenderaan telah diuji dan 20 saman telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan.

“Secara keseluruhan sebanyak 655 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 23 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal segera.

Katanya, seramai 15 individu yang ditahan kerana dikesan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol adalah berusia lingkungan antara 23 hingga 59 tahun.

Jelas beliau, kesemua individu mabuk terbabit telah dibawa ke Balai Polis Trafik di Jalan Bandar dan akan dituduh di mahkamah di bawah seksyen yang sama.

“Kita juga menangkap seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun kerana melakukan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran di bawah Seksyen29(1)AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ1987 manakala dua lagi lelaki berumur 24 dan 40 tahun yang menunggang motosikal disyaki dicuri di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Dalam operasi sama, kita juga melakukan tangkapan ke atas enam lelaki tempatan yang menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, Superman serta bersaing.

“Kesemuanya berusia lingkungan 16 hingga 22 tahun dan akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.

Dalam operasi semalam di Jalan Raja Laut, kata Sarifudin, lelaki berusia 37 tahun ditahan sebelum merampas dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal warna putih yang disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 255.75 gram dan 255.58 gram.

Suspek telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjagakeselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai PolisTrafik (JSPT), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT KualaLumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette