KATHMANDU – Serpihan pesawat yang hilang di pergunungan Nepal ditemui pada Isnin – bertaburan di lereng gunung dan 14 daripada 22 orang di dalamnya disahkan meninggal dunia, kata tentera.
Pasukan penyelamat menemui 14 mayat dari lokasi nahas, kata Teknath Sitaula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuwan di Kathmandu.
Tiada maklumat mengenai mangsa yang terselamat dan pencarian di tapak nahas diteruskan.
Gambar udara lokasi nahas menunjukkan bahagian pesawat bertaburan di atas batu di tepi gaung gunung.
Pesawat Tara Air turboprop Twin Otter terputus hubungan dengan menara lapangan terbang pada hari Ahad ketika terbang di kawasan gaung dan puncak gunung dalam penerbangan selama 20 minit.
Pesawat itu terhempas di Sanosware di daerah Mustang berhampiran dengan bandar pergunungan Jomsom yang ditujunya selepas berlepas dari bandar peranginan Pokhara, 200 kilometer (125 batu) barat Kathmandu.
Menurut data penjejakan dari flightradar24.com, pesawat berusia 43 tahun itu berlepas dari Pokhara pada 9.55 pagi (04:10 GMT) dan menghantar isyarat terakhirnya pada 10.07 pagi (04:22 GMT) pada ketinggian setinggi 12,825 kaki (3,900 meter).
Empat warga India dan dua Jerman berada dalam pesawat berkenaan.
Manakala tiga anak kapal dan penumpang lain adalah warga Nepal.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan dalam penerbangan ke destinasi popular dengan pejalan kaki yang meredah denai gunung dan juga ahli ibadat India dan Nepal yang melawat kuil Muktinath.
Twin Otter, sebuah pesawat lasak yang asalnya dibina oleh pengeluar pesawat Kanada De Havilland, telah berkhidmat di Nepal selama kira-kira 50 tahun, tetapi pernah terlibat kira-kira 21 kemalangan, menurut aviationnepal.com. – AP