Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diperdengarkan rakaman audio aduan ugutan yang diterima oleh ayah saksi kelima pendakwaan Yasmin Nahar Mahmood.

Dalam rakaman audio berkenaan, ayah Yasmin menelefon pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mengenai ugutan yang diterima daripada seorang wanita berkaitan anaknya, Yasmin.

Peguambela, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, berkata, saksi kelima itu terpaksa memberi beberapa keterangan palsu kerana tidak mahu menerima hukuman penjara seperti yang terdapat dalam ugutan berkenaan.

Peguambela: Saya cadangkan, cerita rekaan ini walaupun Yasmin tak bersetuju, saya cadangkan Yasmin buat kerana Yasmin tidak hendak jadi kambing hitam, tidak mahu dituduh di mahkamah, setuju.

Saksi: Tidak

Peguambela: Ini terdapat dalam laporan polis Yasmin sediri

Saksi: Saya tidak pasti.

Peguambela: Yasmin sendiri ada buat laporan mengatakan ayah ada diganggu, setuju?

Saksi: Saya kurang pasti.

Peguambela: Tak pasti tak apa. Dalam laporan itu Yasmin berkata, orang takutkan ayah (Yasmin) boleh dikenakan 30 tahun penjara.

Saksi: Saya tidak pasti.

Pada ketika ini pihak pendakwaan membantah soalan yang dikemukakan oleh Nur A’minahtul Mardiah.

Ini kerana peguambela berkenaan telahpun bertanyakan soalan yang sama sebelum ini.

Kemudian Nur A’minahtul Mardiah meminta kebenaran kepada mahkamah untuk memainkan rakaman audio perbualan telefon antara ayah Yasmin dan Siti Bainun mengenai ugutan yang diterimanya.

Peguambela: Yasmin ingatkan tarikh kejadian ini 22 Julai 2021 masa di kondo. Saya ada, kak lina ada, Puan Aisyah ada, Yasmin ada. Ada tak panggilan telefon diterima. Ingat tak?

Saksi: Ingat.

Peguambela: Yasmin boleh ingat tak suara dalam telefon itu tadi?

Saksi: Suara dalam telefon dan membuat panggilan suara ayah saya dan seorang lagi Cik Siti Bainun.

Peguambela: Dalam panggilan itu ayah Yasmin kata Yasmin boleh dikenakan penjara 20 tahun.

Yasmin: Saya tak jelas (dengar audio) sebenarnya.

Peguam: Tapi sahkan perbualan ini berlaku di rumah Siti Bainon dengan kehadiran peguam, setuju?

Yasmin: Setuju.

Saksi kelima pendakwaan itu selesai disoal balas oleh pasukan peguambela Siti Bainun kira-kira pukul 12.15 tengah hari sebelum mahkamah berhenti rehat.

Perbicaraan bersambung semula di hadapan Hakim Izralizam Sanusi pada pukul 2 petang dengan pihak pendakwaan akan memulakan sesi pemeriksaan semula terhadap saksi terbabit. -MalaysiaGazette