Home Nasional Individu mahu baling objek pada perakam di Jalan Temiang dicari polis

Individu mahu baling objek pada perakam di Jalan Temiang dicari polis

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang seakan-akan bertindak mahu membaling objek ke arah kenderaan yang merakam tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di laluan kecemasan di Lebuhraya Jalan Temiang-Pantai, dekat Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan itu dilakukan selepas rakaman kejadian yang berdurasi 11 saat itu tular di media sosial.

Menurutnya, bertindak atas rakaman yang diperolehi, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan galangan di atas jalan yang boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya dan di bawah Seksyen 268(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam dan boleh didenda tidak melebihi RM400

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terhadap kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 0162895801.

Pihak polis sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan terutama di Jalan Temiang-Pantai bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku.

Polis juga mengingatkan kepada semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, katanya. – MalaysiaGazette