Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Masyarakat tidak seharusnya mencemuh dan menghina perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik, bahasa ilmu atau bahasa komersial.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, usaha ke arah itu tidak perlu diperlekehkan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bahasa Inggeris boleh jalan macam biasa cuma bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Demi Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan wajib diberi ruang dan telapaknya sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomatik, bahasa komersial dan bahasa sains teknologi. Ini Malaysia bukan Great Britain.

“Barang siapa yang tak senang dengan apa yang hakiki bagi bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan itu, menurut Rais, ditujukan kepada semua pemimpin samada yang lama mahupun yang baharu, menteri dan bekas menteri di dalam negara ini yang merupakan kuasa mutlak dalam menentukan samada Bahasa Melayu dapat dimartabatkan atau tidak.

Dalam pada itu, Rais berkata, tidak ada negara di dunia ini yang jatuh akibat memartabatkan bahasa ibunda mereka.

Namun ia boleh jatuh dengan aktiviti kleptokrat yang semakin berkuasa, ujarnya.

“Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.

“Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi. Apa salahnya jika bahasa Melayu turut mempunyai nilai-nilai ini?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette