Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid melawat gerai-gerai juadah pada Maljis Sambutan Hari Raya Risda 2022 di Ibu Pejabat Risda, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 82,000 kilogram jagung bijian untuk dijadikan makanan ternakan dijangka dituai Julai ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hasil itu merupakan sebahagian daripada program tanaman melibatkan 750,000 pokok dengan kawasan penanaman seluas 15 hektar di Perlis.

“Tanaman jagung bijian ini menjadi fokus Risda pada tahun ini dalam membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mahdzir berkata, kerajaan mensasarkan pengeluaran 600,000 metrik tan jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, inisiatif yang diambil oleh Risda adalah sebagai usaha menyokong Program Agromakanan dan memenuhi dasar keperluan agromakanan negara sekaligus menjamin bekalan makanan demi kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, ia juga sebagai langkah menggalakkan pekebun kecil untuk meneroka sumber baharu bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan sepenuhnya daripada pendapatan menerusi sumber getah.

Mengulas lanjut Mahdzir memberitahu, program berkenaan membabitkan 1,000 peserta di seluruh negara dengan jumlah maksimum bantuan sebanyak RM20,000 bagi setiap peserta.

Ujarnya, peserta boleh memilih untuk melaksanakan tiga skop projek iaitu tanaman jangka pendek, tanaman jangka atau aktiviti ternakan.

“Mereka ini pekebun kecil yang berdaftar di bawah Risda… dia punya perniagaan utama dua sahaja iaitu kelapa sawit dan tanaman getah.

“Tetapi untuk membantu kerajaan dengan apa yang sedang berlaku ketika ini, Risda jugak mengambil tanggungjawab untuk menawarkan kepada pekebun kecil ini, kita tanam jagung untuk jangka pendek….yang panjang adalah kelapa sawit dan getah.

“Jadi, kita beri peruntukan kepada pekebun kecil buat pertanian kontrak dengan Risda untuk mereka tambah pendapatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette