Pesawat 9N-AET yang hilang ketika dalam penerbangan ke Pokhara. foto Reuters

KATHMANDU – Pihak berkuasa Nepal menangguhkan pencarian sebuah pesawat penumpang kecil dengan 22 orang penumpang yang hilang dalam cuaca mendung semalam.

“Operasi mencari telah digantung untuk hari ini kerana cuaca gelap. Pencarian akan disambung awal esok,” kata jurucakap polis Bishnu Kumar KC.

Katanya, cuaca buruk dan kawasan pergunungan telah menghalang usaha mereka untuk mengesan pesawat De Havilland Canada DHC-6-300 Twin Otter yang dikendalikan oleh Tara Air, syarikat milik persendirian.

Pesawat itu berlepas pada waktu pagi untuk penerbangan selama 20 minit tetapi terputus hubungan dengan menara kawalan lima minit sebelum ia sepatutnya mendarat.

Pesawat itu berlepas dari bandar pelancongan Pokhara, 125 kilomter (km) barat ibu negara, Kathmandu menuju ke Jomsom, yang terletak kira-kira 80 km barat laut Pokhara dan merupakan tapak pelancongan popular.

Televisyen Nepal milik kerajaan berkata, penduduk kampung mendakwa telah melihat sebuah pesawat terbakar di Sungai Lyanku Khola di kaki gunung Himalaya Manapathi, di sebuah daerah yang bersempadan dengan Tibet.

“Pasukan pencari darat sedang menuju ke arah itu,” kata jurucakap Tara Air Sudarshan Gartaula kepada Reuters, merujuk kepada lokasi kebakaran.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN) juga berkata, satu pasukan sedang menuju ke kawasan itu.

Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat itu membawa empat warga India, dua warga Jerman dan 16 warga Nepal, termasuk tiga anak kapal.

Laman web pengesan penerbangan Flightradar24 berkata, pesawat 9N-AET – telah melakukan penerbangan pertamanya pada April 1979.

Ia didakwa terbang ketika awan mendung di kawasan Pokhara-Jomson sejak pagi.

Nepal, menempatkan lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest, mempunyai rekod kemalangan udara.

Cuacanya boleh berubah secara tiba-tiba dan landasan terbang biasanya terletak di kawasan pergunungan yang sukar mendarat.

Pada awal 2018, penerbangan US-Bangla Airlines dari Dhaka ke Kathmandu terhempas semasa mendarat dan terbakar, mengorbankan 51 daripada 71 orang di dalamnya.

Pada tahun 1992, kesemua 167 orang yang menaiki pesawat Pakistan International Airlines terbunuh apabila ia terhempas di atas bukit ketika ia cuba mendarat di Kathmandu. – Reuters