Pemandu kereta BMW sedang diburu selepas memandu lawan arus dan mengakibatkan kemalangan di Jalan Batu Arang-Rawang hari ini -Gambar Ihsan IPD Gombak.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu pemandu kereta BMW yang tular di media sosial kerana memandu secara melawan arus dan mengakibatkan kemalangan di Jalan Batu Arang-Rawang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 48 saat memaparkan kejadian itu yang berlaku sekitar pukul 4 petang.

“Pemerhatian polis terhadap video itu mendapati sebuah kereta BMW berwarna hitam dipandu secara merbahaya dan memintas kenderaan lain di garisan berkembar ketika trafik sesak.

“Tindakan pemandu BMW yang memandu secara merbahaya mengakibatkan kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan kereta yang datang dari arah bertentangan yang terpaksa menekan brek secara mengejut bagi mengelak daripada dilanggar kereta suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Zainal Mohamed, polis telah mempergiatkan usaha dan sedang mengesan pemandu BMW itu serta perakam kamera papan pemuka di media sosial.

“Satu laporan polis telah dibuat berkaitan insiden tersebut dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Polis menggesa mana-mana pihjak yang menyaksikan insiden itu atau mempunyai maklumat lanjut diminta tampil menyalurkannya kepada polis atau mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman at 013-7557556.- MalaysiaGazette