Penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua ketinggalan kepada muka baharu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Batu dalam Pemilihan PKR 2022.

Keputusan tidak rasmi dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 setakat 8 malam tadi menyaksikan Prabakaran, yang pertama kali bertanding dalam pemilihan parti mendapat sebanyak 517 undi manakala Tian Chua memperoleh 306 undi.

Sebelum ini, Tian Chua mengumumkan tidak mempertahankan jawatan naib presiden sebaliknya mahu bertanding jawatan ketua cabang parti.

Sementara itu, di cabang Setiawangsa selebriti Datuk Afdlin Shauki Aksan juga ketinggalan kepada  penyandang jawatan Ketua Cabang yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Afdlin yang hanya mendapat 372 undi berbanding Nik Nazmi 482 undi, menerima nasib sama dengan dua lagi rakan selebriti Hans Isaac dan Altimet yang masing-masing gagal mengatasi lawan mereka dalam   merebut jawatan Ketua Cabang Ampang.

Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

— BERNAMA