Ketua Penerangan Pejuang Ulya Uqamah Husamudin.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) tampil memberikan penjelasan bahawa pemimpin yang menubuhkan parti itu dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukannya melompat parti.

Menurut Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Husamuddin, kelima-lima pemimpin parti yang dipecat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerana kerana mereka tidak bersetuju Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

“Sewaktu mereka berlima dipecat oleh Muhyiddin, belum pun wujud Parti Pejuang Tanahair untuk dilompat. Parti ini hanya didaftarkan pada 8 Julai 2021 oleh Pejabat Pertubuhan Pendaftar (ROS), 17 bulan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

“Jadi tidak timbul soal lompat parti daripada Bersatu kepada PEJUANG. Sebaliknya Muhyiddin yang membuat keputusan melompat keluar daripada koalisi, tidak tersenarai daripada ahli-ahli parlimen yang lompat parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelima-lima yang dimaksudkan Ulya adalah bekas Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung, Datuk Amiruddin Hamzah; Bendahari Agung, Datuk Dr Shahruddin Salleh dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq kemudiannya membentuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Ulya berkata demikian merujuk yang menggolongkan keempat-empat pemimpin Pejuang sebagai 39 Ahli Parlimen yang melompat parti sejak Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018.

Pada 28 Mei 2020 lalu, lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Mahathir dipecat daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Berdasarkan surat pemecatan yang dikeluarkan parti, mereka dipecat atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Mereka tidak duduk di blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin. – MalaysiaGazette