KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meraikan pemenang Kempen Gong Xi Ang Pow 2022 dan Kempen myPTPTN Klik-klik je! bagi menghargai pelanggan yang menabung dengan pihaknya.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kemenangan tersebut menyuntik semangat dan motivasi kepada orang ramai untuk terus menabung dalam Simpan SSPN.
“Saya mewakili barisan Ahli Lembaga Pengurusan dan Pengurusan PTPTN mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang Kempen Gong Xi Ang Pow 2022 dan Kempen myPTPTN Klik-klik je!.
“Saya berharap hadiah yang dimenangi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemenang untuk keluarga dan masa hadapan anak-anak,” katanya pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Kempen Gong Xi Ang Pow 2022 bertemakan Gong Xi Simpan, Kongsi Ong! Hari-Hari Mesti Mau Simpan Tau! berlangsung selama sebulan bermula 15 Januari lalu bagi meraikan Tahun Baru Cina dalam mengeratkan perpaduan rakyat Malaysia.
Dalam kempen berkenaan, seramai lapan pemenang setiap negeri telah memenangi hadiah keseluruhan hampir RM100,000 dengan tempat pertama membawa pulang televisyen pintar 4K berukuran 50 inci diikuti hadiah periuk tekanan tinggi bagi pemenang tempat kedua.
Pemenang tempat ketiga membawa pulang sebuah basikal lipat manakala lima pemenang hadiah saguhati menerima angpau bernilai RM388 setiap seorang.
Dalam pada itu, pemenang Kempen myPTPTN Klikklik je! yang bermula 29 Mac laliu dan berakhir 15 Jun nanti itu turut ditawarkan hadiah keseluruhan dengan wang tunai berjumlah RM250,000 untuk 25 pemenang sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.
Kempen tersebut bagi menggalakkan pelanggan memuat turun dan menggunakan aplikasi mudah alih myPTPTN yang boleh dimuat turun di telefon mudah alih menerusi App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
Mengulas lanjut, Wan Saiful memuji kejayaan dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 terutama produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dikenali Simpan SSPN setelah mengekalkan portfolio cemerlang bermula tahun 2018.
“Jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN terkumpul sehingga 30 April 2022 ialah RM12.05 billion. Secara keseluruhan, sehingga 30 April 2022 sebanyak 5.36 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004.
“Saya gembira kerana visi saya berjaya diterjemahkan oleh para pegawai PTPTN melalui kutipan deposit Simpan SSPN yang sudah empat tahun berturut-turut mencatatkan peningkatan yang amat signifikan,” ulasnya. – MalaysiaGazette