Zaki Azmi

KUALA LUMPUR – Pertama Digital Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Tun Zaki Azmi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 30 Mei 2022.

Zaki, yang berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Pertama Digital sejak 21 April 2020, menggantikan Datuk Dr. Kenny Ng Bee Ken bagi memacu syarikat ini lebih jauh apabila ia melancarkan perniagaan baharu selaras dengan unjuran pertumbuhannya dalam sektor ini.

”Saya berbangga kerana diberi tanggungjawab dan keyakinan lembaga pengarah untuk menerajui syarikat dan berharap untuk mengambil pendekatan hands-on dengan pihak pengurusan sambil kami mencipta penyelesaian untuk manfaat rakyat,” kata Zaki.

Mengulas mengenai perkhidmatannya di syarikat itu, Kenny Ng berkata, perubahan seperti ini perlu untuk menyuntik hala tuju baharu bagi kejayaan syarikat.

”Saya tahu bahawa Tun Zaki mempunyai dorongan dan kaliber yang diperlukan untuk memimpin syarikat ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Zaki, bekas Hakim Besar Malaya ke-12 bertanggungjawab menjayakan penstrukturan semula badan kehakiman Malaysia dan menyumbang kepada korporat Malaysia melalui jawatan Pengerusinya di Astro Malaysia Holdings Berhad serta pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Petronas dan beberapa syarikat tersenarai lain termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad dan SP Setia Berhad.

Beliau juga merupakan Canselor Universiti Multimedia dan Universiti MAHSA serta Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia. – MalaysiaGazette